Tuesday, August 17, 2010

Politik dan Negara kita

Sejarah Kesultanan Melayu di nusantara boleh kita dapati di kedai-kedai buku dengan harga yang berpatutan, ada yang tebal dan ada yang nipis, boleh di baca tanpa halangan undang-undang dan sebagainya. Tapi sayang orang Melayu kurang membaca bahan-bahan ilmiah berbanding bahan hiburan, sukan dan politik, Cuma di sekolah dan universiti sahaja ianya laris terutamanya di perpustakaan sebagai bahan rujukan. Tahap kesedaran terhadap bahan bacaan yang berbentuk ilmiah amatlah rendah, sebab itulah aura cinta negara mudah pudar, mungkin pada hari tertentu sahaja seperti Hari Kebangsaan pada 31 ogos, disambut bersama program-program atau rancangan tv.

Politik negara kita masih lagi di tahap sederhana, kesedaran sivik berpolitik, pendekatan parti politik terhadap penyokong dan lawan, menerangkan dasar-dasar parti kepada rakyat dan ketulusan menjalankan amanah rakyat. Suasana berkempen dan selepas mengundi pula begitu teruk, seolah-olah bertanding dengan satu bangsa lain ( alien ) ianya berlarutan tanpa penghujung, yang teruk ialah bangsa Melayu bertelagah sampai mati, rakyat bermasam muka sesame saudara sendiri, bahkan ada yang menghukum haram sembelihan orang dari parti lawan dan berbagai-bagai kerenah lain yang mengharu birukan keadaan.

Kalau kita selidiki sejarah negara, dari kesultanan Melayu hinggalah proses mencapai kemerdekaan, maka banyak pengajaran yang boleh kita pelajari demi mencapai kemajuan negara dan membina modal insan yang diharapkan. Antara pengajaran tersebut:

Pertama, sikap bangsa Melayu yang sangat menghormati dan menyanjungi bangsa lain, sebagai contoh, di perkampungan majoriti Melayu terdapat beberapa keluarga bangsa Cina atau India, orang Melayu dan Cina atau India dapat hidup aman damai dan saling bantu membantu tetapi jika sebaliknya … sikap ini patut dibanggakan oleh kita.

Kedua, sikap mudah bertelagah dan hasad dengki sesama sendiri berbanding orang lain, terutamanya dalam masalah pengaruh, harta kekayaan dan pemerintahan, dalam sejarah pemerintahan sultan-sultan Melayu ada yang sanggup membantu musuh atau bangsa penjajah menjatuhkan kerajaan dari saudaranya sendiri atau rakyatnya yang setia. Di sinilah antara punca kita sangat mudah dijajah oleh mereka yang datang ke tanah Melayu dengan hanya beberapa buah kapal sahaja. Dengan kata lain perpaduan bangsa Melayu amat rapuh, kerapuhan itu terlihat sehingga sekarang. Wawasan orang Melayu masih lagi dalam sebulan dua bukan sepuluh tahun kehadapan, sesebuah negara maju dan kuat adalah sebuah negara yang mempunyai pemimpin dan rakyat berwawasan jauh dalam semua aspek, kita sebagai orang Melayu telah terbukti pernah mempunyai wawasan jauh dan efektif, sebagaimana berlaku dalam sejarah Melaka dan Kelantan dan juga negeri-negeri lain.





Di Melaka terkenal dengan perdagangan peringkat antarabangsa, menurut dalam sejarah asal usul nama negeri Melaka selain nama pokok, ada lagi pendapat mengatakan nama negeri Melaka adalah berasal dari perkataan arab “malqa’ “ bermaksud tempat bertemu, iaitu pertemuan para pedagang asing dengan pedagang tempatan, inilah zaman kegemilangan tanah Melayu selain Kelantan sebuah negeri yang terkenal dengan pusat pengajian ilmu agama dan persilatan, ada pendapat mengatakan Hang Tuah datang berguru dengan Adiputra di Bukit Panau, Tanah Merah.





Sejarah masjid Kg Laut boleh juga diambil iktibar, yangmana ia dibina oleh dua orang sunan iaitu Sunan Kalijaga dan sahabatnya datang ke Kelantan untuk berdakwah dan mencurahkan ilmu agama. Lantaran banyak sumbangan dari aspek keilmuan agama, negeri Kelantan terkenal dengan negeri Serambi Mekah.

Untuk kita renungi bersama, sebagai bangsa yang pernah dijajah selama lebih kurang 500 tahun, sepatutnya kita sedar dan insaf tentang kelemahan kita menjaga kedaulatan negara dan maruah bangsa supaya kemerdekaan yang kita perolehi tidak dicemari oleh unsur-unsur penjajahan ataupun sistem kolonial, walaupun ada suara-suara sumbang penuh kedengkian menafikan kemerdekaan sebenar negara kita, biarlah … yang penting kita sebagai bangsa Melayu yang beragama Islam terus memerintah negara yang dahulunya Tanah Melayu dengan tatacara kita dan agama Islam, terus terbela atas landasan undang-undang Islam bukannya undang-undang ciptaan manusia barat bangsa penjajah, juga memerintah dan berpolitik mengikut apa yang telah diteladani dan ditunjukkan oleh PEMIMPIN AGUNG UMAT AKHIR ZAMAN nabi Muhammad saw,iaitu sistem khalifah dengan pemilihan pemimpin berdasarkan syura; mereka yang mempunyai ilmu agama dan kemampuan berpolitik serta bersifat tawaduk, pastinya keberkatan dan kekuatan ada pada kita, bangsa lain di negara kita menumpang tuah, hidup aman damai kerana Islam sangat mengambil berat tentang mereka ( kafir zimmi) yang tinggal di negara Islam. Bersatu padulah kita… bersatu politiklah kita “ bersatu teguh bercerai roboh”.

Monday, August 9, 2010

PUASA MENYIHATKAN


Sebagaimana yang kita telah ketahui bahawa puasa adalah satu ibadat wajib bagi mereka yang tiada keuzuran syarie dan cukup syarat melaksanakannya. Selain puasa bulan ramadhan puasa sunat lain juga ada kelebihannya, di sini secara umumnya bahawa puasa itu memberi kesan positif yang cukup jelas iaitu menyihatkan badan.

Melaksanakan ibadat puasa menyihatkan badan melalui proses detoksifikasi, kerana apabila seseorang menahan makan dan minum pada siang hari, semua usus penting akan berehat daripada “bekerja “ yang mana sebelum itu bekerja tanpa henti siang dan malam. Proses detoksifikasi ini mencuci dan membersihkan badan daripada racun ( toksin ). Di samping itu ia dapat merangsang beberapa perubahan yang melibatkan metabolisme badan dan proses ini membantu pembersihan dan pembaikan dalam tubuh kita.

Mengikut sejarah amalan puasa telahpun diamalkan oleh generasi-generasi terdahulu samada mereka itu pengikut para nabi atau tidak, seperti Hippocrates, Paracelsus dan Galen telah mengamalkannya dan juga dalam rawatan untuk pesakit mereka. Mengikut pendapat pengarang buku “ Alexander Adalah Zulqarnain” Muhammad Alexander bahawa Socrates adalah sebenarnya Luqman Al Hakim, di sini sudah pasti benar, kerana mengikut sejarah Socrates, Plato dan Pythagores sering kali berpuasa. Berdasarkan kajian-kajian serta testimoni pesakit, penyakit asma, sakit sendi, sakit usus, susah tidur, penyakit kulit dan lain-lain dapat disembuhkan dengan berpuasa.

Satu kajian telah dibuat di Universiti Utah membuktikan golongan Mormon yang berpuasa hanya sehari dalam sebulan telah merendahkan risiko sakit jantung, hasil kajian ini telah dilaporkan dalam artikel “ Fasting? It’s Good For The Heart”. Sila rujuk www.earthtimes.org .

Ujian-ujian lain yang telah dijalankan oleh pakar-pakar kesihatan menunjukkan bahawa amalan berpuasa dapat menurunkan paras gula dalam darah tanpa mengganggu kesihatan atau kemudaratan lain, sebagai contoh, kadar kolesterol lipoprotein ( LDL ) menurun sebaliknya kolesterol lipoprotein (HDL) meningkat dan paras lemak di dalam darah juga menurun.

Rasulullah juga bersabda “ "صوموا تصحوا ertinya : berpuasalah kamu nescaya kamu akan sihat. Oleh itu bagi mereka yang ingkar dan malas dengan pelbagai alasan adalah selayaknya mereka tidak patut berada dalam golongan yang berjaya di dunia dan di akhirat, jelas mereka tidak menggunakan akal yang dikurniakan Allah SWT, hidup di dunia hanya untuk makan minum dan beranak pinak sahaja, belum habis bulan puasa mereka telah bersedia dengan bermacam-macam program raya… insaflah kita ..semoga ibadat puasa menjadi salah satu modal kita di hari perhitungan nanti..

Sunday, August 8, 2010

Puasa

Puasa salah satu rukun Islam yang lima, menjadi kewajipan kepada mereka yang cukup syarat-syaratnya, menunaikan ibadat dengan hati yang ikhlas sekadar menahan makan dan minum mengikut tempoh yang ditetapkan iaitu bermula naik fajar hinggalah terbenam matahari bagi umat nabi Muhammad saw, di mana jua berada samada di planet bumi atau di angkasa.

Bagi mereka yang beriman, bulan ini disambut bagaikan bidadari datang menjemputnya, tetapi bagi mereka fasik bagaikan menyambut tetamu yang tidak diundang dan menyusahkan, rupanya ada dua golongan hamba Allah ini, pada hal semua itu untuknya sendiri, bahkan itulah tanda kasih Allah kepada hambaNya. Apa tidaknya diberikan ‘malam lailatul qadar’ yang sama dengan ibadat seribu bulan.. kalau dikira dengan umur kebanyakan kita tidaklah sampai ke tahap itu..

Ibadat ini telahpun dilakukan oleh umat terdahulu dan termasuk dalam ibadat kuno, juga ianya dilakukan oleh agama-agama lain – cara pelaksanaan berbeza- ia juga satu ibadat yang berlangsungan dari umat yang terdahulu yang diutuskan kepada mereka para rasul dengan aqidah tauhid..sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-baqarah : ayat 183-185:

183. Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
184. (Puasa Yang Diwajibkan itu ialah beberapa hari Yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu Yang sakit, atau Dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari Yang dibuka) itu pada hari-hari Yang lain; dan wajib atas orang-orang Yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah Iaitu memberi makan orang miskin. maka sesiapa Yang Dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari Yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (Walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.
185. (Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu Yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa Yang sakit atau Dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari Yang ditinggalkan itu pada hari-hari Yang lain. (dengan ketetapan Yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Kewajipan ini melatih kita supaya menjadi hambaNya yang bertaqwa, bersifat sabar, pengasih, amanah, berani dan dermawan..selain taat dan patuh kepadaNya kita bertambah sihat dengan berpuasa, juga mengingatkan kepada kita bahawa bulan ramadhan ialah bulan yang diturunkan kitab suci al-Quran, renungilah kita sejenak kebesaran dan kenikmatan yang diberikan kepada mengajar kita supaya hati dan lidah ringan mengucapkan syukur.

Antara peristiwa penting yang berlaku dalam bulan ramadhan ialah:
1- Peperangan Badar – 17 ramadhan
2- Ambang peperangan Uhud – 7 syawal
3- Ambang peperangan Khandak
4- Pembukaan kota Mekah – 20 ramadhan
5- Peperangan Tabuk – lanjutan dari bulan Rejab
6- Tersibar Islam ke Yaman – 10H

Wafatnya Rasulullah setelah berpuasa bersama para sahabat selama 9 bulan ramadhan yang dilalui dengan perjuangan dan dakwah sehingga dapat mengajar dan mendidik para sahabat erti puasa bukan semata-mata sabar menahan lapar dan dahaga tetapi sabar dalam bermujahadah diri dan agama sehingga bumi disinari cahaya Islam …