Thursday, April 29, 2010

Mimpi bertemu Nabi

" من رآني في المنام فسيراني في اليقظة "

- Sahih al Bukhari
Terjemahan: Sesiapa yang melihat aku dalam mimpi, nescaya akan melihat aku dalam jaga ( sedar ).

" من رآني في المنام فقد رآني فإن الشيطان لا يتمثل بي "
Terjemahan: Sesiapa yang melihat aku dalam mimpi, maka sesunguhnya ia telah melihat aku, kerana syaitan tidak dapat menyerupai aku .


Semenjak dahulu lagi ramai di kalangan ulama dan orang-orang tertentu mengalami peristiwa pelik dan mencarik adat, kadang-kadang boleh meragui orang ramai kerana cerita itu dan ini berkenaan bermimpi berjumpa dengan Rasulullah s.a.w atau dengan para anbia’ lain, bahkan ada yang berjumpa secara sedar ( jaga ) dengan Rasulullah s.a.w, ini memeningkan kepala, apa tidaknya mereka telah wafat !

Tetapi bagi mereka yang telah mengalaminya, adalah suatu anugerah daripada Allah s.w.t kerana bukannya mudah untuk bermimpi atau bertemu dengan Nabi, lantaran itu ramai di kalangan kita tercari-cari bagaimanakah cara untuk bertemu di dalam mimpi atau secara sedar ? Ya , ada caranya tetapi tidak terjamin boleh berjumpa, mungkin kerana ianya satu anugerah atau ada kekurangan individu itu sendiri.

Sebelum perkara ini dibincang lebih jauh lagi, dalam masa yang sama ada di kalangan kita yang antikan tareqat dan tasauf yang mana secara melulu mereka menuduh dan mengkhurafatkan perkara ini, mana mungkin perkara ini berlaku, itu hanya mainan tidur, mimpi apa pun boleh berlaku, lebih-lebih lagi secara sedar ! itu adalah tuduhan-tuduhan mereka tanpa terlebih dahulu merujuk kepada kaedah-kaedah sufi dan pandangan-pandangan mereka. Malah ada yang cuba menuduh ajaran tareqat di dalam tasauf ke dalam kategori ajaran-ajaran sesat.

Sebenarnya ilmu tareqat dan tasauf adalah suatu ilmu yang membahaskan tentang pembinaan sahsiah diri seseorang hamba dengan khaliqnya,dirinya sendiri, manusia, haiwan lain dan alam sekitar. Cuba kita kaji tentang riwayat hidup Rasulullah s.a.w bagaimana ia mendapat kepercayaan dari kaumnya yang kafir, apakah tidak dengan akhlaknya? Ya dengan akhlaknya; akhlaknya al Quran ! Baginda tidak terkenal dengan kecantikan, walaupun Baginda lebih cantik dari nabi Yusuf a.s , tetapi terkenal dengan akhlaknya.

Bagi kita yang cintakan Rasulullah s.a.w marilah kita sama-sama berselawat kepadanya sebanyak mana yang terdaya, selawat panjang atau pendek itu bergantung kepada kita masing-masing yang penting ingatan yang tulus ikhlas dikehendaki. Mengikut apa yang diceritakan oleh seorang sahabat semasa menuntut di Mesir bahawa keadaan berjumpa dengan Rasulullah ada tiga keadaan, pertama: semasa peperangan kedua: dalam majlis ilmu ketiga: keadaan biasa, wallahua’lam. Di sini hanya ditulis sebahagian kaifiat untuk berjumpa dengan Rasulullah s.a.w di dalam mimpi : ( cubalah yang mana satu )

1- membaca surah al Qadr sebanyak 21 kali semasa matahari naik dan tenggelam, atau1000 kali pada malam Jumaat.

2- membaca surah al Kaushar pada malam hari sebanyak 1000 kali .

3- membaca surah al Ikhlas pada malam hari sebanyak 1000 kali.

4- Selawat kepada Rasulullah seberapa banyak yang termampu dengan hadir ( tidak lalai) ) dan penuh rasa rindu. Bentuk selawat bergantung kepada kehendak individu.

Contoh selawat :
اللهم صل على سيدنا محمد عبدك ورسولك النبي الأمي وعلى آله وصحبه وسلم كلما ذكرك الذاكرون وغفل عن ذكرك الغافلون. عدد ما أحاط به علم الله . وجرى به قلم الله ونفذ به حكم الله ووسعه علم الله عدد كل شيء . و أضعاف كل شيء وملء كل شيء عدد خلق الله وزنة عرشه ورضاء نفسه ومداد كلماته عدد ما كان وما يكون وما هو كائن في علم الله . صلاة تستغرق العدد . وتحيط به الحد . صلاةً دائمةً بدوام ملك الله باقيةً ببقاء الله .

Dari himpunan selawat sheikh Sidi Yusuf An Nabhani. Dibaca berterusan pada setiap 10 malam sebanyak 100 kali sebelum tidur ( tidur sebagaimana Nabi tidur ) dan berwuduk serta menghadap qiblat.

Sekiranya masih lagi tidak berjaya, maka perlulah diselidiki pada diri kita, mungkin :

1- tidak bertaubat
2- makan makanan/ minum yang tidak halal , hartanah, wang ringgit , pecah amanah dan sebagainya.
3- suka mengumpat, rasa iri hati dan sifat-sifat mazmumah yang lain
4- tidak hormat kepada ibu bapa/orang tua
5- kurang rasa kasihan belas kepada ahli keluarga ( isteri, anak-anak ) dan anak-anak yatim.
6- kurang solat malam. ( semua perkara di atas boleh membantutkan solat malam ). Sebagaimana dalam buku شوارق الأنوار – السيد محمد بن علوي المالكي mengatakan : sentiasalah solat malam walau dua rakaat, dengannya boleh membawa kebahagiaan dan kewalian.
* sekiranya berjaya rahsiakanlah atau khabarkan kepada orang yang sepatutnya.
Rujukan :
1- شوارق الأنوار
2- كيفية الوصول لرؤية سيدنا الرسول محمد صلى الله عليه وسلم
3- Masalah Berjumpa Rasulullah S.A.W ketika jaga selepas wafatnya.

Tuesday, April 27, 2010

Sebahagian dari kita berfikir

Semakin hari manusia semakin maju dalam pelbagai aspek kemodenan, mereka telah melangkah ke arah masa yang membuatkan manusia itu sendiri tertanya-tanya apa kesudahannya, kecanggihan yang membawa manusia mabuk dengan kebijaksanaannya sendiri. Kecuali mereka yang beriman, mematuhi perintah Allah SWT samada perkara suruhan atau larangan, amanah dan tanggungjawab dipikul dengan redha.

Jelas kedengaran persengketaan dan jenayah semakin hari semakin banyak dan pelbagai perkara terkutuk telah dilakukan oleh mereka yang waras ! Dibiarkan dan ditutup telinga oleh mereka yang bergelar pemimpin, perbincangan demi perbincangan telah dibuat untuk membendung gejala-gejala tidak sihat, perdebatan pun semakin hangat sehinggakan orang awam naik muak dengan tindakan yang telah diambil, tapi semuanya ibarat seperti melepaskan batuk ditangga, tiada apa-apa kesan kepada masyarakat, lantaran tidak dilaksanakan undang-undang yang termaktub di al Quran dan al Hadis

Para ulama bersengketa sesama sendiri, menegakkan pendapat masing-masing, ada pula bangga dengan gelaran Dr, bekas mufti, ustaz tersohor, anak murid itu ini, lepasan itu ini dan yang paling tolol perasan kehebatan sendiri bahkan sanggup mengatakan orang lain kurang ilmu dan perlu belajar lagi. Apa sudah jadi ni! Kalau kita kaji sejarah sesebuah negara Islam apabila bersengketa sesama sendiri maka kehancuranlah natijahnya, yang jelas dijajah oleh bangsa lain ! lihatlah negara kita sendiri kenapa negara dijajah oleh bangsa lain yang tinggal beribu batu, tidak lain tidak bukan kerana kita tidak bersatu dan tamak kuasa, sanggup bersekongkol dengan orang yang ianya sendiri tidak kenal hati budinya, lebih teruk lagi sanggup membunuh orang yang paling taat dan cintakan tanahairnya, seperti Mat Kilau dihambat sampai ke usia warga emas, Tok Janggut sehingga syahid dan lain-lain pahlawan bangsa terkorban kerana menentang penjajah, buku-buku teks tahun-tahun lampau mengajar anak bangsa bahawa mereka ini adalah pemberontak negara, penderhaka sultan dan sebagainya, itulah akibatnya mempunyai pemikiran mundur. Di dalam undang-undang jenayah Islam ada ”mentafsirkan” erti pemberontak, tapi ke mana ulama-ulama? Takut !.....

Itu adalah cerita sejarah ”kita” yang diajar oleh guru-guru untuk dikaji dan diambil pengajaran bahawa sikap-sikap seperti itu perlu dibenteras dan dibunuh dalam pemikiran, tapi sekarang timbul pula cerita dan babak semirip itu, mengkritik, menghentam dan sebagainya dari golongan politikus, cendikiawan dan golongan ulamak masing-masing mempertahankan pendapat dan pandangan sehinggakan ada yang sanggup menghina dan menjatuhkan maruah orang lain.

Dewasa ini di negara kita timbul pula berkenaan golongan Wahabi rata-ratanya dari golongan beragama , mereka bergelar ”Dr”, ustaz dan Yb. KITA sebagai orang yang digelar............., kaji selidik dulu apa itu wahabi, siapa pengasasnya dan apa tujuannya? Jangan pula ikut membabi buta atau berasa selari jiwa nafsu saja sudah menjadi lebih wahabi dari orang wahabi Saudi sendiri. Dalam akhbar Mingguan Malaysia 28 Januari 2010, ruangan rencana; ada penulis mengkritik berkenaan dengan akidah, saya rasa penulis tidak arif berkenaan masalah menghormati sheikh atau guru dan tawasul kerana pendapat beliau terlalu umum dan berbau fitnah yang mana boleh membawa kekeliruan pembaca yang tidak ada pengetahuan tentang masalah ini secara terperinci seperti kata-kata pujangga ” hanya jauhari yang mengenal manikam ” di sini harapannya jangan terlalu cepat terpanculnya kata-kata demikian, kerana ia mengambarkan bukan cendikiawan sebenar,.. berkenaan tawasul ada dalil yang membolehkan, banyak pendapat ulama berkenaan tawasul, kecuali ulama wahabi menolak serta membidaahkannya, sehinggakan ada yang mengatakan penggunaan alat tasbih adalah perbuatan meniru agama lain sepeti Buddha, sedangkan ada hadis berkenaan alat tasbih, lihatlah di kedai-kedai sekeliling Masjidil Haram .. kan banyak orang yang menjual alat tasbih, kenapa tidak diharamkan penjualannya?

Bangsa penjajah bagaikan orang mabuk asmara mengkaji al Quran dan al hadis sehingga terbitnya buku yang berjilid-jilid iaitu ” Mu’jam Hadis ” para pengarangnya adalah golongan orientalis barat, nah ! ... kita sibuk ..... ? Orang Islam hanya segelintir sahaja termasuklah pensyarah dari Indonesia seperti Muhammad Alexender telah menerbitkan buku-buku kajian ilmiah yang sukar untuk dikaji dan diselidiki berkenaan dengan fakta-fakta dan bukti yang agak kabur dan rumit, tapi kerana cintakan ilmu ... dapatkan buku-bukunya di ” khazanah-khazanah ilmu” yang berhampiran dengan anda! Judul terbaru ” Alexender adalah Zulqarnain” cetakan pertama 2010. Manakala kajian tentang flora dan fauna, kebanyakkan orang-orang bukan bangsa kita, seperti Bertram E. Smythies dengan buku berjudul ” The Birds of Borneo ” dicetak pertama kali pada tahun 1960. Ulama Melayu zaman dahulu pula telah menerbitkan beribu-ribu buah buku, tapi sekarang apa ya? ...


Amanah dengan ilmu menunjukkan ia seorang ulama amilin, bercakap, berpendapat, menulis dan menasihat dari hati yang jujur dan ikhlas, tidak ada sesuatu di sebalik ungkapan dan tulisan kecuali atas nama kejujuran dan inginkan keredhaanNya.

Sunday, April 25, 2010

wasiat

Semenjak berkurun lamanya kehidupan para ulama tidak terpisah dari majlis-majlis ilmu dan pesanan-pesanan yang tidak ternilai,mereka mengembara mencari cahaya ilmu dengan menempuh pelbagai dugaan dan halangan hanya berbekalkan keimanan dan keyakinan bahawa di sana ada “ kehidupan yang hakiki “.

Mereka berusaha dengan bersungguh-sungguh serta diawasi niat yang ikhlas demi mencari keredhaanNya, mereka juga akan beramal dengan ilmu yang dipelajari. Sebagaimana pesanan seorang tabie Malik bin Dinar:

“ siapa yang menuntut ilmu untuk beramal nescaya ia akan menguasainya, tetapi sesiapa yang menuntutnya bukan untuk beramal nescaya bertambahlah keegoannya “.

Abu Abdullah ar Ruzbari berpesan:

“ ilmu itu terletak pada amalan, amalan terletak pada ikhlas, dan keikhlasan pada Allah akan mewarisi kefahaman terus dari Allah Azzawajalla ”

Yusof bin Husein rahimahullah berkata:

” di dunia ini ada dua kezaliman, pertama kezaliman ilmu, kedua kezaliman harta, manakala yang menyelamatkan engkau dari kezaliman ilmu ialah ibadat, dan yang menyelamatkan engkau dari kezaliman harta ialah zuhud ”.

Sahl bin Abdullah at Tasytari rahimahullah berkata:

” Semua manusia itu dalam keadaan ” mabuk” kecuali ulama, dan semua ulama dalam keadaan ” kebingungan” kecuali yang beramal dengan ilmunya ”.

Wahai sahabatku ! Rasulullah pernah mengingatkan kepada kita bahawa orang yang paling cerdik di kalangan kita ialah orang yang sentiasa mengingati mati, nasibnya di akhirat tempat kekal abadi! Bertafakkurlah seketika nescaya kita menginsafi di atas kealpaan, menangislah sekalipun kita tidak berdaya untuk menangisi diri sendiri, sebenarnya kita tidak ketandusan nasihat-nasihat yang berguna tetapi kita ketandusan cakna kepada diri sendiri !

Thursday, April 22, 2010

MEREKA PARA WALI ALLAH

Pengertian wali ialah orang yang menyerahkan segala urusannya kepada Allah SWT tidak kepada dirinya, termasuklah ibadat dan ketaatannya, ibadatnya tidak bercampur kemaksiatan, antara syarat yang perlu ada ialah ianya terjaga ( mahfuz ) sebagaimana para nabi mereka terpelihara ( maksum ).

Ada seorang sahabat saya telah bertanya kepada seorang sheikh bagaimana kita mahu mengecami atau mengenali para wali ini ? sheikh menjawab: apabila kita melihat atau bertemu dengan seseorang, lebih-lebih lagi orang yang kita tidak pernah kenali sebelum ini, kita terus teringat kepada Allah SWT, maka kamu harus berhati-hati dengannya ! Beliau juga mengatakan perlantikan para wali ialah pada malam jumaat dengan disaksikan oleh para wali dari kumpulanya atau para wali lain terkadang juga boleh dilihat oleh orang biasa yang terpilih oleh Allah SWT. Kerana kerahsiaan mereka dari kita adalah salah satu dari rahsia-rahsia Allah SWT ; mungkin didedahkan kepada hamba-hambaNya yang soleh. Tugas-tugas mereka mengikut kepada darjat dan kumpulan masing-masing atau mengikut masa yang ditetapkan sahaja.

Mengikut Ibn Arabi, ar rijal (para wali) terbahagi kepada dua bahagian:

i- Rijal al adat ( Berbilang ) رجال العدد

ii- Rijal al maratib ( Berdarjat ) رجال المراتب

Rijal al adat :

1- al Qutub atau al Ghaus ( seorang sahaja )

2- al Imam ( 2 orang )

3- al Watad ( 4 orang )

4- Badal - abdal ( 7 orang )

5- Naqib – nuqaba’ ( 12 orang )

6- Hawari – hawariuun ( 1 orang ) : mereka menjaga agama dengan senjata dan hujjah, pada zaman Rasulullah ialah saidina al Zubair bin al Awwam r.a

7- Rajbi – rajbiuun ( 40 orang ) mereka bertugas hanya pada bulan Rejab sahaja.

8- al Khatam ( 1 orang ) ia hanya seorang sahaja di dunia bukan pada setiap zaman.

9- al Mujtaba al Mustafa ( 300 orang ) mereka di hati nabi Allah Adam a.s

10- Rijal pada maqam kerinduan kepada Allah SWT ( 40 orang ) mereka di hati nabi Allah Nuh a.s

11- Rijal pada maqam salam ( 7 orang ) mereka di hati nabi Allah Ibrahim a.s

12- Raja-raja Tariqah ( 5 orang ) mereka di hati malaikat Jibril a.s

13- Rijal al khair ( 3 orang ) mereka di hati malaikat Mikhail a.s

14- Rijal rohaniah, mereka di hati nabi Allah Daud a.s terbahagi kepada 17 kumpulan:

1- Rijal al ghaib ( 10 orang )

2- Rijal al zhahir ( 18 orang )

3- Rijal al qahr ( 8 orang )

4- Rijal al hannan ( 15 orang )

5- Rijal al hibah wal jalal ( 4 orang )

6- Rijal al fath ( 24 orang )

7- Rijal al ‘ali atau al ma’arij ( 7 orang ) kumpulan yang tertinggi dalam kumpulan ini.

8- Rijal tahta asfal atau ahli nafs ( 21 orang )

9- Rijal al amdad al ilaahi wal kaun ( 3 orang )

10- al ilahi ar rahmani ( 3 orang )

11- Rijal al barzakh ( 1 orang )

12- Saqit al Rafraf bin Saqit al Arsy ( 1orang )

13- Rijal al ghani billah ( 2 orang )

14- Rijal ain at tahkim wa al zawaid ( 10 orang )

15- Al abdaal ( 12 orang )

16- Rijal al isytiyaaq ( 5 orang )

17- Rijal al ayyam as sittah – nisbah kepada enam hari ( 6 orang )

Rijal al maratib :

1- Rijal al matla’

2- al fuqara’ ( orang faqir )

3- as saufiah ( ahli tasauf )

4- al ubbad ( ahli ibadat )

5- az zuhaad ( orang zuhud )

6- Rijal al maa’ ( mereka beribadat di dasar laut atau sungai , saling tidak mengenali sesama mereka ).

7- al afrad

8- al umanaa

9- al qurraa’ ( ahli Quraa’ atau ahli quran )

10- al ahbab

11- al muhaddisun ( ahli hadis )

12- al akhilaa’

13- as samraa’

14- al warasah ( ulama amilin )

15- al awlia’ terbahagi kepada 35 golongan:

1. al ambia’ ( para nabi )

2. as sidiqqun

3. as syuhadaa’

4. as solihun

5. muslimin dan muslimat

6. mukmin dan mukminat

7. al qanitun dan alqanitat

8. as sodiquun dan as sodiqaat

9. as sobiruun dan as sobiraat

10. al khasiuun dan al khasiaat

11. as soimun dan as soimat

12. al hafizun li hududillah dan al hafizat( orang yang menjaga batasan Allah )

13. az zakirun dan az zakirat

14. at taaibun dan at taaibat ( at tawaabun )

15. al mutatahiruun

16. al haamiduun

17. as saaihuun

18. ar rakiuun

19. as saajiduun

20. an nahuun dari perkara mungkar

21. al hulamaa’

22. al awwahuun

23. al ajnaad al ilahiyyun ( tentera Allah )

24. a akhyar

25. al awwabuun

26. al mukhbituun

27. al munibuun

28. al mubsiruun

29. al muhajiruun dan al muhajiraat

30. al musyfiquun

31. al mufuun dengan janji Allah

32. al muwasiluun apa yang diperintahkan oleh Allah

33. al khaifuun

34. al mu’ riduun

35. al karamaa’

Sabda Rasullah s.a.w : " جلساء الله يوم القيامة : الخاضعون المتواضعون الخائفون الذاكرون الله كثيرا "

Teman ( orang yang berdampingan ) Allah pada hari qiamat ialah : Orang yang patuh, orang yang tawaduk ( merendah diri ), orang yang takut kepada Allah dan orang yang banyak berzikir kepada Allah.

  • Perbezaan orang mukmin dengan orang arif mengikut ilmu tasauf ialah :

Orang mukmin

Orang al arif

Melihat dengan cahaya Allah

Melihat dengan Allah

Mempunyai hati ( qolbu )

Tidak mempunyai hati

Hati orang mukmin tenang dengan zikir

Orang al arif tenang dengan Allah semata-mata.

perhatian!!: sekiranya pembaca budiman tidak memahami sila abaikan, ini hanya maklumat sahaja, untuk memahaminya perlu kepada huraian lisan dari ahlinya.

Mengikut Sheikh Ahmad bin Iyaad, beliau salah seorang masyayikh Tariqah as Syaziliah dalam kitabnya “ Mafakhiru al aliah “ bahawa Nuqaba’ adalah 300 orang dan amalan mereka terbahagi kepada 2 iaitu: ( 10 amalan )

1- 4 amalan zahir

2- 6 amalan batin

* salah satu amalan zahir ialah banyak ibadat dan sebahagian amalan batin ialah taubat, muhasabah dan tafakkur ( sentiasa berfikir tentang kebesaran Allah dan kejadian makhlukNya )

Antara generasi yang pertama dari kalangan tabien ialah Uwais bin Amer al Qarni yang terkenal dengan banyak ibadat, zuhud dan sangat patuh kepada ibunya. Di zamannya, beliau tidak dikenali orang lantaran kerana kemiskinannya, tetapi sangat terkenal di kalangan makhluk-makluk Allah di langit, apabila berdoa, doanya tidak akan terhalang.

Oleh itu, bagi kita yang bertaraf awwam, perlulah belajar dan beribadat setulus hati, menghormati para ulama,beramal dengan al Quran dan al Hadis serta menjauhi pendapat atau golongan songsang; seperti golongan anti hadis, golongan yang mengaku salaf ( salafi ) dan golongan alla mazhabiah ( tidak mengikut mazhab yang 4, sedangkan dia tidak bertaraf mujtahid ).

Kita juga perlu menjauhi sifat-sifat mazmumah ( tercela ) yang biasanya ada pada golongan berpendidikan agama, seperti bangga diri, menganggap pendapat orang lain kurang tepat atau salah, menjawab soalan dengan jawapan yang dia sendiri tidak yakin ( tidak amanah dengan ilmu ) dan bangga dengan banyak belajar.

Di zaman moden ini, terlalu sukar untuk kita mengenali atau mencari mereka, maksud saya mencari mereka dengan gambaran seperti ulama dahulu, mungkin mereka berubah gambaran mengikut perubahan zaman dan tempat, iaitu tidak semestinya terikat dengan pemakaian ulama sahaja, oleh itu sangka baiklah terhadap orang lain !

Bahan rujukan:

1- القرآن الكريم

2- الشيخ أحمد بن عياد - المفاخر العلية في المآثر الشاذلية

3- فتوحات الشيخ الأكبر

4- د/ عبد المنعم الحفني - معجم مصطلحات الصوفية

5- الحارث المحاسبي – رسالة المسترشدين

6- الحافظ أبي نعيم أحمد بن عبد الله الأصفهاني - حلية الأولياء وطبقات الأصفياء

Sunday, April 18, 2010

AL QURAN PEDOMAN HIDUP

Segala pujian dan syukur ke hadrat ilahi dan ucapan selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w di atas nikmat Islam dan iman.

Al Quran kitab suci yang terakhir diturunkan oleh Allah taala melalui malaikat Jibrail a.s kepada nabi Muhammad s.a.w untuk seluruh umat manusia dan jin, maka dengan adanya kitab ini, hidup manusia khasnya menjadi teratur, aman, selamat,sejahtera dan macam-macam lagi .. ianya cukup lengkap.

Kandungan al Quran merangkumi ilmu yang pelbagai,hukum hakam, rahsia alam, masa lampau dan akan datang dan ilmu ketuhanan (aqidah). Lantaran itu kita diwajibkan mempelajari al Quran bermula dari teknik pembacaannya ( tajwid dan qiraat ),tafsir (makna nas ) dan ilmu al Quran ( ulum al Quran ) menjadi fardu ain kepada setiap muslim, paling tidak dapat membacanya dengan betul.

Musuh-musuh Islam sudah sekian lama merancang strategi dan propaganda serta menyebarkan 'racun ghaib' bagi memusnahkan kekuatan umat Islam bermula dengan tidak mampu membaca al Quran dan mengamalkannya untuk diri dan negara ! Supaya orang Islam tidak lagi menjadikan al Quran sebagai sumber rujukan dan pedoman hidup! Sekarang mereka sudah berjaya menjajah jiwa manusia yang beragama Islam dan bernama Islam, sehinggakan sukar untuk mengenali mereka itu orang Islam atau tidak, tingkahlaku dan cara hidup bukan lagi mengambarkan seorang Islam, paling jelas ramai yang tidak melaksanakan solat, jahil tentang apakah peranan dan rahsia-rahsia solat. Dalam al Quran ada menyebut bahawa solat itu boleh mencegah daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh agama.
{ إن الصلاة تنهى عن الفحشاء والمنكر }


Di zaman moden ini, sudah banyak ajaran dari al Quran tidak di amalkan dalam kehidupan seharian, bermula dari bangun tidur hinggalah ke kamar tidur lagi, lupa tanggungjawab sebagai hambanya, lebih menyedihkan lagi ramai cendikiawan terkenal tapi fungsi dan sumbanganya hanyalah untuk duniawi semata, bercakap mengenai agama tapi motifnya adalah wang ringgit dan glamour. Pernah ada yang berkata di akhir zaman manusia keluar dari agama seperti anak panah keluar dari busurnya! Undang-undang Allah di dalam al Quran hanyalah untuk para pelajar sekolah dan universiti belajar serta membuat penyelidikan sahaja, ini bermakna semua orang mengetahui bahawa hukum-hakam yang terdapat di dalam al Quran adalah yang terbaik ! jadi mengapakah kita masih lagi menggunakan undang-undang lain sebagai gantinya ? Pelik bukan!

Ilmu sains dan alam sekitar juga terdapat di dalam al Quran, firman Allah taala: ( Yunus :6)
ان في اختلف اليل والنهار وما خلق الله في السمواتوالأرض لأيت لقوم يتقون

Pertukaran malam dan siang , makhluk-makhluk ( kejadian-kejadian ) di langit dan di bumi yang dijadikan oleh Allah adalah untuk orang-orang yang bertaqwa.
Begitu besar sekali amanah Allah diberikan kepada kita sebagai khalifahnya. Apabila kita mengkaji dan memahami serta beramal dengannya nescaya kita akan menjadi salah seorang hambanya yang bertaqwa.

Untuk dikupas secara panjang lebar mungkin tidak sepatutnya di sini, yang penting kita tahu apakah tujuan kita dijadikan dan al Quran diturunkan. InsyAllah semoga hambanya yang soleh dan mendapat rahmatnya adalah kita, amin !