Monday, August 9, 2010

PUASA MENYIHATKAN


Sebagaimana yang kita telah ketahui bahawa puasa adalah satu ibadat wajib bagi mereka yang tiada keuzuran syarie dan cukup syarat melaksanakannya. Selain puasa bulan ramadhan puasa sunat lain juga ada kelebihannya, di sini secara umumnya bahawa puasa itu memberi kesan positif yang cukup jelas iaitu menyihatkan badan.

Melaksanakan ibadat puasa menyihatkan badan melalui proses detoksifikasi, kerana apabila seseorang menahan makan dan minum pada siang hari, semua usus penting akan berehat daripada “bekerja “ yang mana sebelum itu bekerja tanpa henti siang dan malam. Proses detoksifikasi ini mencuci dan membersihkan badan daripada racun ( toksin ). Di samping itu ia dapat merangsang beberapa perubahan yang melibatkan metabolisme badan dan proses ini membantu pembersihan dan pembaikan dalam tubuh kita.

Mengikut sejarah amalan puasa telahpun diamalkan oleh generasi-generasi terdahulu samada mereka itu pengikut para nabi atau tidak, seperti Hippocrates, Paracelsus dan Galen telah mengamalkannya dan juga dalam rawatan untuk pesakit mereka. Mengikut pendapat pengarang buku “ Alexander Adalah Zulqarnain” Muhammad Alexander bahawa Socrates adalah sebenarnya Luqman Al Hakim, di sini sudah pasti benar, kerana mengikut sejarah Socrates, Plato dan Pythagores sering kali berpuasa. Berdasarkan kajian-kajian serta testimoni pesakit, penyakit asma, sakit sendi, sakit usus, susah tidur, penyakit kulit dan lain-lain dapat disembuhkan dengan berpuasa.

Satu kajian telah dibuat di Universiti Utah membuktikan golongan Mormon yang berpuasa hanya sehari dalam sebulan telah merendahkan risiko sakit jantung, hasil kajian ini telah dilaporkan dalam artikel “ Fasting? It’s Good For The Heart”. Sila rujuk www.earthtimes.org .

Ujian-ujian lain yang telah dijalankan oleh pakar-pakar kesihatan menunjukkan bahawa amalan berpuasa dapat menurunkan paras gula dalam darah tanpa mengganggu kesihatan atau kemudaratan lain, sebagai contoh, kadar kolesterol lipoprotein ( LDL ) menurun sebaliknya kolesterol lipoprotein (HDL) meningkat dan paras lemak di dalam darah juga menurun.

Rasulullah juga bersabda “ "صوموا تصحوا ertinya : berpuasalah kamu nescaya kamu akan sihat. Oleh itu bagi mereka yang ingkar dan malas dengan pelbagai alasan adalah selayaknya mereka tidak patut berada dalam golongan yang berjaya di dunia dan di akhirat, jelas mereka tidak menggunakan akal yang dikurniakan Allah SWT, hidup di dunia hanya untuk makan minum dan beranak pinak sahaja, belum habis bulan puasa mereka telah bersedia dengan bermacam-macam program raya… insaflah kita ..semoga ibadat puasa menjadi salah satu modal kita di hari perhitungan nanti..

0 comments:

Post a Comment