Sunday, April 25, 2010

wasiat

Semenjak berkurun lamanya kehidupan para ulama tidak terpisah dari majlis-majlis ilmu dan pesanan-pesanan yang tidak ternilai,mereka mengembara mencari cahaya ilmu dengan menempuh pelbagai dugaan dan halangan hanya berbekalkan keimanan dan keyakinan bahawa di sana ada “ kehidupan yang hakiki “.

Mereka berusaha dengan bersungguh-sungguh serta diawasi niat yang ikhlas demi mencari keredhaanNya, mereka juga akan beramal dengan ilmu yang dipelajari. Sebagaimana pesanan seorang tabie Malik bin Dinar:

“ siapa yang menuntut ilmu untuk beramal nescaya ia akan menguasainya, tetapi sesiapa yang menuntutnya bukan untuk beramal nescaya bertambahlah keegoannya “.

Abu Abdullah ar Ruzbari berpesan:

“ ilmu itu terletak pada amalan, amalan terletak pada ikhlas, dan keikhlasan pada Allah akan mewarisi kefahaman terus dari Allah Azzawajalla ”

Yusof bin Husein rahimahullah berkata:

” di dunia ini ada dua kezaliman, pertama kezaliman ilmu, kedua kezaliman harta, manakala yang menyelamatkan engkau dari kezaliman ilmu ialah ibadat, dan yang menyelamatkan engkau dari kezaliman harta ialah zuhud ”.

Sahl bin Abdullah at Tasytari rahimahullah berkata:

” Semua manusia itu dalam keadaan ” mabuk” kecuali ulama, dan semua ulama dalam keadaan ” kebingungan” kecuali yang beramal dengan ilmunya ”.

Wahai sahabatku ! Rasulullah pernah mengingatkan kepada kita bahawa orang yang paling cerdik di kalangan kita ialah orang yang sentiasa mengingati mati, nasibnya di akhirat tempat kekal abadi! Bertafakkurlah seketika nescaya kita menginsafi di atas kealpaan, menangislah sekalipun kita tidak berdaya untuk menangisi diri sendiri, sebenarnya kita tidak ketandusan nasihat-nasihat yang berguna tetapi kita ketandusan cakna kepada diri sendiri !

0 comments:

Post a Comment